"Mereka Yang Bersifat Pertengahan Dalam Semua Hal Tidak Akan Menjadi Miskin" - Saidina Ali

Wednesday, April 22, 2009

Kenapa Wanita Mengandung???

salam... dalam dok menaip kerja2 yg tak penah siap nih, mH saja2 singgah kat blog Ustaz Hasrizal (Saifulislam.Com), mH mmg setia ngan blog dia coz cara pemikiran dia amat terbuka dan mudah dipraktikan ilmu2nya itu... bercerita ttg rumahtanggan, kerja,kawan2... mmg sukee... beliau jugak salah seorang penulis tetap dalam 1 ruangan dalam majalah-i.. terbaca satu artikel yang sgt menyentuh hati... : Kenapa Ummi Mengandung? .... meh baca citer kat bawah nih...

“Ummi, kenapa Ummi penat?” tanya Naurah.

“Ummi bawa adik dalam perut,” jawab Ummu Saif.

“Boleh Naurah pegang?” soal Naurah.

“Yop pun nak pegang,” sampuk abangnya Saiful Islam.

“Imad… pegang!” si kecil Imad itu pun menyibuk sama.

Saya hanya tersenyum memerhatikan gelagat mereka. Kasihan melihat isteri saya yang sering keletihan. Terkenang zaman-zaman di perantauan dulu, Ummu Saif pengsan entah berapa kali di hospital semasa mengandungkan anak pertama kami.

Syukur Alhamdulillah, selepas Saiful Islam berusia 7 tahun, Naurah Sabihah masuk 5 tahun dan Imaduddin mencecah 3 tahun, kami dimurahkan rezeki oleh Allah untuk menyambut cahaya mata keempat yang bakal tiba Julai nanti, Insya Allah.

“Kenapa adik diam sahaja?” Saiful Islam bertanya.


“Dia tidur barangkali. Cuba rasa ini. Teka ini apa?” Ummu Saif mengajukan tangan anak-anak kami ke kiri kandungannya.
“Err, tak tahu,” kata Naurah.


“Kepala?” soal Saiful Islam.
“Bukan. Ini tangan adik. Kakinya di bawah sini!” Ummu Saif cuba mengilustrasikan kedudukan adik baru mereka di dalam perut itu.


“Hahaha!” semua orang ketawa. Terbayang-bayangkan si adik yang sedang baring terlentang di dalam perut Ummi mereka yang semakin sarat itu.
HIBA
Ada titik air mata hiba bergenang di mata saya. Berbau sesal.
Jika semasa Ummu Saif mengandungkan anak pertama dahulu, hampir setiap hari saya akan memegang, bergurau senda dan bercakap-cakap dengan anak kami. Namun dek perjalanan masa, kesibukan kerja masing-masing, keramahan itu ada kalanya terhilang dari mainan kami sekeluarga.


Saya merapatkan diri ke sisi isteri.
Anak-anak pun duduk sama di tepi.


“Assalamualaikum!” saya memberi salam.
“Ha, ha! Dia bergerak!” kata Ummu Saif.


Anak-anak kami pun jadi seronok dibuatnya.
“Susah tak bawa adik dalam perut? Cuba tanya Ummi?” saya bertanya kepada anak-anak.


“Ummi, susah tak bawa adik dalam perut?” tanya Saiful Islam kepada Ummi.
“Tentulah susah. Berat tahu! Boleh tambah 20kg!” kata Ummu Saif kepada anak kami.


Tentu sahaja susah. Tidak ada suatu tugas berat yang dipikul oleh seorang manusia seberat proses mengandung dan melahirkan anak. Hilang selera makan, muntah-muntah, demam, urat berpintal-pintal di kaki (varicose vein), tubuh bengkak air (water retention), sakit pinggang dan serba serbi jadi tidak kena. Itulah realitinya sebuah kehamilan.
“Kenapa Abi tak mengandung? Abi kan kuat?” tanya Saiful Islam.


“Haha, budak ni! Abi mengandung juga, tapi tak ada baby!” saya bergurau.
Anak-anak kebingungan.


Benar sekali…

FIZIKAL, RASIONAL, EMOSIONAL


Jika difikirkan beban mengandung, bukankah lebih wajar Allah Subhanahu wa Ta’aala jadikan para suami yang mengandung. Mereka ada kekuatan fizikal. Mahu mengangkat tong gas di atas bahu kanan dan kiri pun tidak punya masalah. Sepatutnya kekuatan fizikal itu digunakan untuk memikul tugas yang berat ini… hamil dan seterusnya melahirkan anak.

Tetapi saya terkenang kepada kata-kata Imam al-Ghazzali, bahawa
“lelaki diciptakan Allah 9 rasional 1 emosi dan perempuan diciptakan Allah 1 rasional 9 emosi”.
Ya, kekuatan wanita itu adalah pada emosinya. Tinggi EQ!
Emosi itulah kelayakan untuk seorang manusia hamil.
Emosi untuk sabar dengan berat dan payahnya 9 bulan mengandung. Emosi untuk membelai, memberi makan kepada kandungan seperti memberi makan kepada diri sendiri. Emosi yang kerana emosi itulah, alam bayi di dalam kandungan digelar ALAM RAHIM, iaitu ‘alam kasih sayang’. Kasih sayang yang sulit untuk ditemui dalam jiwa lelaki, biar pun fizikalnya sasa dan mentalnya berkuasa.


Aduhai anak-anak, sesungguhnya engkau tidak lahir ke dunia ini, melainkan engkau pernah dipeluk kasih dan sayang seorang ‘ibu yang rahim’ di ALAM RAHIM.
TIBA-TIBA

“Abang, rasanya nak bersalin dah ni!” jerit Ummu Saif.

“Apa???” saya panik dan sesak nafas terkejut dengan jeritan itu. Tercungap-cungap tidak cukup nafas.

“Haa!!!”, aduhai…. rupa-rupanya saya bermimpi. Sudah nak masuk anak keempat, masih ada mimpi-mimpi sebegini lagi?

Peluh di dahi saya kesat.

Segera menoleh ke sisi, terlihat isteri yang tidurnya tidak lena melayan resah badan dengan sarat kandungan.

“Tidurlah sayang. Biar abang bancuhkan susu Imad itu,” saya bingkas bangun meraba gelap untuk melayan tangisan Imad yang terkejut oleh kejutan saya tadi.

Semoga Allah limpahkan seluas-luas cinta dan kasih-Nya buat bondaku dan bonda isteriku yang telah mengandung dan membesarkan kami dengan kasih sayang, semoga cinta dan kasih-Nya juga disiramkan ke hati dan jiwa isteriku, yang bermujahadah dalam cinta dan kasih kami, untuk mengandung, melahir dan membesarkan anak-anak penyejuk mata.

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung keletihan demi kekeletihan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)” [Luqman 31: 14]

Selamat Hari Ibu

ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com/
68000 Ampang

2 comments:

Ayu Zan said...

em..nice entry kan..sy pun suke dgn blog saifulislam tu..

zaza@mamaHanin said...

a'aa la ayu.. banyak ilmu buleh dapat..kekadang kita blajaq secara tak langsung dari blog dia..banyak pengajaran dan pembelajaran..hehehe..mcm cikgu la pulak.. ada P&P..kekeke
ayu tinggal mana ekk?

Related Posts with Thumbnails